Friday, October 09, 2015

Hijrah

Aku tak berapa kisah untuk kurang update belog sekarang. Bukanlah kerana aku terlampau sibuk dengan hal duniawi atau apa, cuma aku lebih senang menjadi pemerhati. Kali ini, hati aku tergerak untuk berkongsi berkenaan dengan HIJRAH. Berat tajuk kali ini untuk aku ulaskan.

Aku mulakan tentang kisah aku 5 tahun yang dulu. Sebelum hati aku diberi Hidayah oleh Allah. Sebelum Allah menyapa aku dengan kasih sayangNya. Aku jadi manusia yang sangat lalai dalam menjalani kehidupan seharian aku. Sehingga suatu saat, aku dan keluarga diuji. Kami hilang semua keselesaan dan nikmat yang diberi. Dan dari itu aku bertekad untuk mengubah hidup dan nasib keluarga.

Bermula dari aku mula sambung belajar ke Perlis untuk mendapatkan Diploma. Demi nak mencapai cita-cita dan mengubah kehidupan diri dan keluarga. Saat hati aku benar-benar ingin mengubah segala perkara negatif dalam diri aku, saat itulah aku mendapat ujian yang amat hebat. Dikhianati dan dipulaukan bukanlah sesuatu yang mudah untuk aku hadapi. Mujur masa tu Allah hadirkan seorang hambaNya yang sangat baik dan sanggup menemani dan juga menjadi penasihat agar aku terus kuat demi keluarga dan diri sendiri. Demi untuk menjadi manusia yang berjaya. Harapan aku tinggi masa aku mula menjejakkan kaki ke Perlis. Aku nak dapat result yang bagus. Pointer aku nak tinggi, setinggi tangga yang aku kena daki setiap hari untuk menghadiri kelas. Alhamdulillah, disebalik sapaan kasih sayang Allah untuk aku, aku berjaya mengatasinya dan aku berjaya tamatkan diploma dengan membuat emak dan ayah berasa bangga.

Selama setahun setengah aku berlawan dengan perasaan. Cuba bangun sendiri saat aku jatuh dan terduduk. Makin kuat aku cuba untuk berubah makin banyak dugaan yang aku hadapi. Hari demi hari aku mendidik hati untuk menjadi manusia yang positif, dan setiap kali itulah aku gagal. Aku terlampau ikutkan jiwa remaja. Aku buat sesuatu tanpa ambik kisah kesannya pada diri aku sendiri. Aku buat segalanya unutuk memuaskan hati sendiri. Aku lukakan hati ramai orang. Aku tinggalkan pengalaman buruk dalam hidup orang lain. Aku hanya pentingkan diri. Selalu menjadi manusia yang memberontak dan pemarah.

Setelah berlalu setahun setengah, aku berhasrat untuk tidak membebankan emak dan ayah. Aku mula menjadi pemburu kerja. Aku bermula hidup sendiri dengan menjadi juruwang di sebuah kedai buku ternama. Gaji masa tu memang tersangat terhad untuk aku pakai. Makan minum tak payah cakap la masa tu. Selepas 8 bulan, aku bermula kerja sebagai customer services di PJ dan gaji up lah siket. Tapi masih belum mencukupi untuk aku melebihkan belanja. Dan setelah beberapa bulan sahaja bekerja di sana aku ditawarkan kerja di Shah Alam. Pekerjaan pertama dalam bidang aku sendiri dan Alhamdulillah aku mampu bertahan sehingga sekarang. Hampir 3 tahun mendalami bidang teknikal.

Apa kaitan kisah yang aku ceritakan ni dengan tajuk HIJRAH kan? Sebenarnya aku nak berkongsi kisah penghijrahan aku dari zaman kejahilan aku. Bukan bermakna aku dah alim dan ustazah sekarang. Aku masih lagi manusia yang mencuba untuk berubah ke arah kebaikan. Mencari sesuatu yang diredhai dan diberkati.

Aku mula sedar akan segala perkara yang aku lakukan adalah kerana aku nak puaskan diri sendiri bila perkara yang aku ingini sangat ditentang oleh keluarga dan sahabat karib aku. Saat itu, aku mula kembali ke jalan yang diredhai olehNya. Aku nekad sebelum aku luahkan keputusan yang aku rasa amat berat untuk aku hadapi saat itu. Akhirnya, aku dah jumpa ketenangan yang aku tak pernah rasa selama aku hidup. Sifat marah dan memberontak dalam jiwa aku masih ada malah sehingga sekarang perasaan itu masih ada. Cuma sekarang aku mampu untuk tidak meluahkan perasaan negatif aku.

Sedaya upaya aku melatih hati aku untuk tidak lagi menyakiti dan melukakan orang sekeliling aku. Aku mula belajar untuk menghargai apa yang aku miliki. Aku lebih suka jadi pemerhati dari berkata-kata. Aku mula belajar sedikit demi sedikit untuk memahami kehendak manusia. Sifat api tak pernah boleh dilenyapkan dengan minyak, sebaliknya harus menjadi air. Aku belajar untuk senyum saat hati aku menangis. Dan perasaan ini sangat indah. Memang pada awalnya amat sukar, tapi lama kelamaan kau akan rasa ia adalah biasa bila kau selalu praktiskannya.

HIJRAH aku adalah untuk menjadi manusia yang lebih baik disisi Allah. Insha-Allah akan aku cuba untuk ubah diri aku sedikit demi sedikit. Sekarang aku bahagia dan bersyukur dengan apa yang Allah anugerahkan untuk aku.

Kisah ini adalah untuk dijadikan ikhtibar kepada sesiapa yang ingin mengubah diri ke arah kebaikkan. Sama-samalah kita menjadi orang yang lebih baik dari kita yang hari ini. Dan aku pun masih belum cukup baik untuk sesiapa. Semoga kita semua akan terlindung dari perkara yang tidak baik.

Sekian.

No comments: