Tuesday, December 20, 2016

Memori 2016

2016... semakin menghampiri penghujung. Tinggal tak lebih kurang seminggu sahaja lagi. Terasa masa sekarang makin cepat berputar. Semakin cepat berlalu. Semakin singkat pada pemikiran aku. Tak terkejar masa.

Sepanjang 2016 ini aku tak letak target apa-apa pun seingat aku. Aku cuma nak carry forward apa sahaja impian aku dari tahun sebelumnya yang masih belum tertunai. 2016 banyak pengalaman baru dan banyak perkara baru aku belajar.

Permulaan dari Januari, aku memulakan kerja di tempat baru dan selepas 2 hari bekerja aku mengalami kemalangan semasa pulang dari kerja. Keadaan tak begitu teruk tapi terasa sampai sekarang kesannya. Aku tak mengalami trauma atau fobia. Cuma kesan dari kecederaan itu saja yang masih lagi terasa sampai sekarang. Ambik masa untuk kembali pulih sepenuhnya.

Dari Februari hingga pertengahan Jun aku berulang alik dari Shah Alam ke PJ untuk mencari rezeki. Setelah hampir 5 bulan aku mengharungi pelbagai permainan emosi dan juga berhadapan dengan manusia yang bukan setakat dua muka. Dari ini aku mula belajar untuk tidak semudahnya mempercayai sesiapa sahaja. Hal kerja dan rumah tidak sama sekali boleh dicampur adukkan. Aku belajar cara untuk mengawal emosi untuk tidak melepaskan suara yang tinggi apabila marah. Disebabkan aku dah tak lagi gembira untuk ke tempat kerja. Maka aku telah menamatkan perkhidmatan aku disana. Aku dah tak mampu nak tanggung perasaan stress berhadapan dengan manusia yang bermuka-muka dan yang paling penting aku rasa otak aku dah makin tidak berkembang. Aku mengalami kemurungan untuk bekerja. Akhirnya aku berhenti dari menyakiti hati sendiri untuk berhadapan dengan situasi ini. Bukan maksudnya aku melarikan diri, aku cuma mengalah. Aku tak nak bazirkan tenaga untuk benda yang aku rasa tidak berbaloi.

Julai, permulaan baru untuk aku selepas bercuti selama 3 minggu. Ingat senang nak bercuti lama-lama semenjak dah bekerjaya ni? Hahaha... Aku menghabiskan masa selama 3 minggu di kampung. 1 Minggu sebelum raya puasa dan 2 minggu selepas raya. Pertengahan Julai aku memulakan kerja di tempat baru. Kali ini aku sendiri takut untuk berhadapan dengan rakan-rakan sekerja aku. Memandangkan mereka semuanya lelaki dan sangat berpengalaman dalam bidang teknikal. Aku hanya insan yang kerdil dan kurang pengetahuan dalam bidang teknikal. Mujurlah mereka semua sangat membantu. Banyak perkara yang aku belajar. Cara mungkin berbeza tapi outputnya adalah sama. Dan Alhamdulillah aku sekarang jatuh hati dengan kerja aku sendiri.

Ogos, September, Oktober dan November, perkara yang sama aku lalui. Hari-hari ada sahaja benda baru yang aku belajar. Aku cuba buat yang terbaik untuk diri aku dan masa depan aku. Aku dah mula fikir untuk ada simpanan dan juga rumah sendiri. Selain itu, aku tengah cuba untuk selesaikan duit pinjaman PTPTN yang masih berbaki. Disebabkan nama aku dah tergolong dalam kategori bakal disenarai hitamkan jadi aku mula dengan gigih untuk menghabiskan bayaran balik pinjaman tu. Tambahan sekarang PTPTN ada potongan 15% untuk mereka yang ingin langsaikan baki hutang dan 10% bagi mereka yang ingin membuat bayaran separuh dari baki pinjaman sehingga 31 Disember 2017.

Disember, bulan kelahiran aku. Aku tak pernah rasa eksited untuk sampai tarikh lahir aku. Tahun ini perasaan eksited tu sangat-sangat sebab aku nak balik kampung dan buat sedikit makan-makan bersama keluarga. Tambahan pula aku nak jumpa Muaz yang dah semakin membesar tu. Dah lama sangat tak jumpa. Bermula minggu depan 27.12 sehingga 2.1.17 aku akan bercuti selama 10 hari. Aku nak manfaatkan masa cuti sebaik mungkin memandangkan mungkin ini adalah cuti panjang aku yang terakhir sebelum aku bertukar status dari bujang ke isteri orang nanti. :)

Sekian.

No comments: